Aurat Solat

Soalan :

Apakah hanya memakai kain pelikat dikira sah sembahyang sedangkan kalau dipandang dari arah bawah (kaki keatas) tentu auratnya terbuka dan ketika rukuk akan kelihatan aurat (sekiranya kain yang dipakai dibawah paras aurat)? Apakah pakaian terbaik untuk mengelakkan aurat kita dapat dilihat dari arah atas atau bawah?

Jawapan :

Definasi aurat menurut bahasa ialah kekurangan. Menurut istilah syarak pula ialah sesuatu yang wajib disembunyikan dan yang haram dilihat. Aurat adalah salah satu daripada syarat sah solat. Menurut ijma’ ulama’, aurat itu wajib ditutup dalam semua keadaan sama ada di dalam di luar solat. Hanya, bentuk penutupan itu sahja yang berbeza-beza menurut keadaan-keadaan tertentu..

Firman Allah: “Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat). (al-A’raf : 31) Rasulullah bersabda: “Allah tidak menerima sembahyang perempuan yang telah baligh tanpa tudung kepala.” (Riwayat al-Hakim)

Mengenai masalah yang saudara tanyakan, jawapannya adalah:

1. Aurat mestilah ditutup dari arah keliling dan atas, tidak dari arah bawah.

2. Apabila seseorang itu memakai kain yang singkat, kemudian ketika rukuk atau sujud terlihatlah auratnya, apakah batal sembahyangnya? Sebagai jawapannya, Syeikh Daud al-Fatany telah di tanya : Apakah batal sembahyang seseorang yang memakai kain singkat, kemudian semasa ruku’ dan sujud terlihat auratnya. Orang ini pula sebenarnya sengaja memakai kain berkenaan, padahal ada kain lain yang tidak singkat yang boleh dipakainya?

Syeikh Daud menjawab tidak batal sembahyangnya, kerana aurat berkenaan kelihatan dikira dari arah bawah, bukan dari arah keliling atau atas. (Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathany, Furu’ al-Masa’il, vol. 1, hal. 76, cet. Darul Fikr)

3. Tentang mahu memakai pakaian apa dan bagaimana caranya adalah terpulanglah kepada kita. Asalkan dapat menutup batas-batas aurat yang telah ditetapkan di dalam sembahyang. Sehingga, jika bersembahyang dengan tidak memakai baju, hanya pakai kain pelikat dengan menutup anggota aurat asasi sahaja, ia sudah dikira sah sembahyangnya! Walaupun sah sembahyangnya, tetapi dari segi adab antara makhluk dan al-Khaliq dikira sebagai sangat tidak patut.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: