Ibu…Ummi…Mami…Mak…Mek…Indai… dan sebagainya merupakan panggilan anak terhadap insan yang mengandungkan,melahirkan,menyusukan dan mendidik mereka dengan penuh kasih sayang…jasa dan pengorbanan seorang ibu sememangnya tidak dapat dinafikan lagi..malah pada penelitian dan pemerhatian saya,kebanyakkan anak-anak lebih rapat dengan ibu mereka.Boleh tanya diri masing-masing tentang itu.Anda ada jawapannya.Kadang-kadang timbul juga rasa cemburu dalam diri saya bila melihat kemesraan kawan-kawan saya bersama ibu mereka.Bagi saya,sejak berumur 10 tahun lagi,saya kehilangan insan tersayang,insan yang bernama ‘ibu’. Namun saya bersyukur kerana dianugerahkan seorang ibu tiri yang penyayang dan perihatin. Walaupun begitu, pastinya tidak sama dengan ibu yang mengandungkan dan menyusukan.Oleh itu,bersyukurlah wahai saudaraku sekelian,yang sedang membaca artikel ini khususnya,andainya kalian masih dapat melihat dan bermanja dengan ibu masing-masing..Curahkan kasih sayang yang jitu selagi mereka masih hidup.
Pada artikel kali ini,saya mahu berbicara tentang insan yang dipanggil ibu..namun tidaklah bermaksud menafikan pengorbanan dan kemuliaan seorang ayah.Kita berbicara tentang ibu sebagai tanda besarnya pengorbanan ibu, yang perlu diletakkan di tempat yang sewajarnya.Pengorbanan dan jasa yang perlu dikenang sepanjang masa,bukannya hanya pada Hari Ibu semata-mata.Setiap hari sepatutnya hari ibu…bukannya sekali setahun.
Firman allah s.w.t:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata,dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkat kepada mereka(sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “AH”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka,tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”.
Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa baginda Nabi s.a.w telah didatangi oleh seorang lelaki lalu bertanya kepada baginda s.a.w yang bermaksud:
“Siapakah orang yang patut aku berbuat baik?. Rasulullah s.a.w menjawab ibumu. Kemudian siapa lagi?, ibumu. Kemudian siapa lagi?,ibumu.Kemudian siapa lagi?, bapamu,kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya
Baginda Rasulullah SAW telah menggariskan satu dasar bahawa Islam amat mengutamakan kepada si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya ini kerana segala pergorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar. Namun begitu, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri si ibu berserta sokongan dari si bapa.
Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi, ini tepat sekali dengan sabda Nabi Muhammad SAW:
“اَلْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ اْلأُمَّهَاتِ.”
Maksudnya: “Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu.”
Hal ini dapat dilihat dalam kisah Alqamah, di mana beliau begitu sukar untuk melafakan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang tergores di atas layanannya, walaupun Alqamah kuat beribadah tetapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya, sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Alqamah tidak terjadi kepada kita.
Maka, janganlah sesekali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati mereka. Terutama kepada golongan remaja yang sering terlibat dengan masalah sosial di mana perbuatan dan perilaku tersebut boleh mengguris perasaan dan mengecewakan harapan ibu yang impikan setiap anak mereka menjadi insan berguna dan sentiasa menjaga nama baik keluarga bukan dengan menjatuhkan maruah keluarga.
Kerana terdapat kes-kes yang mengecewakan kita telah berlaku dan dipaparkan di dalam media seperti ibu bapa didera oleh anak sendiri, malahan ada yang sanggup membunuh ibu bapa apabila permintaan mereka tidak dipenuhi atau perbuatan mereka dihalang oleh ibu bapa. Perbuatan derhaka seperti ini adalah disebabkan telah hilangnya nilai keimanan dalam diri dan jiwa kerana telah dikuasai oleh syaitan serta kewarasan akal fikiran hilang disebabkan pengaruh pil khayal, dadah dan sebagainya. Mereka ini perlu bertaubat kepada Allah SWT dan memohon ampun di atas segala dosa-dosa yang dilakukan, mudah-mudahan hidup akan diberkati dan dijauhkan dari azab siksaan api neraka Allah SWT.
Bagi menghargai segala jasa ibu, maka berbagai cara perlu kita lakukan untuk menghiburkan hati mereka. Diantaranya kita memperuntukkan masa untuk menziarahi ibu, bercuti bersama-sama ibu, membawa ibu bersiar-siar ke tempat yang menarik, menghadiahkan sesuatu yang menjadi kesukaannya, sentiasa mendoakan mereka, dan melakukan apa sahaja yang menyenangkan hati mereka, sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang seorang anak kepada ibu.
Persoalannya? adakah kita telah melakukan hal-hal sedemikian kepada ibu kita? adakah hanya sekadar bila tibanya hari raya, atau hari ibu, barulah kita tertanya-tanya di mana dan bagaimana keadaan si ibu?. Sedangkan ajaran Islam menegaskan bahawa ibu hendaklah diberikan perhatian dan layanan pada setiap masa. Sebagai anak, kita perlulah sentiasa mentaati dan mendoakan kesejahteraan serta keampunan bagi kedua ibu bapa agar hidup kita diberkati Allah. Jika ibu bapa kita telah meninggal dunia, hadiah yang paling bermakna untuk mereka yang amat kita kasihi ini, ialah mendoakan kesejahteraan untuk mereka, agar Allah Taala sentiasa merahmati dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka.
0 comments:
Post a Comment